JUN 2021

PPV Bergerak Permudahkan Masyarakat Tercicir Terima Vaksin, Perlukan Kerjasama KMKK


LIMBANG: Kerajaan akan memastikan semua masyarakat menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mencapai Imuniti Kelompok menjelang bulan Ogos ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk itu mereka yang tercicir akan diberikan perhatian sewajarnya untuk menerima vaksin dengan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak akan ke tempat mereka untuk memberikan vaksin COVID-19. 

“Untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau ini, kita akan bergerak untuk memastikan mereka yang tercicir dan mungkin tidak mempunyai pengangkutan atau mereka yang tiada keupayaan untuk bergerak dapat menerima vaksin COVID-19. 

“Jadi, kita minta kerjasama semua pemimpin masyarakat, ketua kampung, tuai rumah untuk memberitahu siapa yang tidak mempunyai keupayaan untuk bergerak dan untuk datang, jadi kita boleh pergi ke tempat mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengdakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya baru-baru ini. 

Setakat 24 Jun 2021, jumlah yang telah mendapatkan vaksin dos pertama di PPV Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya adalah seramai 2,356 orang atau 67 peratus daripada 3,516 orang jumlah keseluruhan penduduk di 55 buah lokaliti yang disasarkan. 

Daripada jumlah itu, 32 buah kampung, tujuh buah rumah panjang, dan sebuah kawasan ladang (Biogrow Plantation) telah mendapat vaksin manakala, baki sembilan buah kampung dan enam buah rumah panjang yang belum mendapat vaksin COVID-19. 

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan MyVac yang terdiri daripada belia yang membantu proses kelancaan pemberian vaksin di PPV Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya ini yang disifatkannya cara terbaik berbakti kepada masyarakat. 

“Saya melihat para sukarelawan sama-sama berganding bahu dalam menyumbang bakti kepada masyarakat. 

“Saya sempat bertanyakan kepada beberapa orang sukarelawan yang pertama kali bekerja selepas tamat persekolahan. Kebanyakan mereka bekerja untuk mendapatkan pengalaman selain mengisi masa lapang. 

“Selain mendapat pengalaman untuk bekerja, mereka turut teruja untuk berbakti kepada masyarakat,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berharap jumlah 67 peratus penduduk yang telah divaksin akan dapat ditingkatkan lagi bagi memastikan Imuniti Kelompok dapat dicapai seperti mana yang dirancang. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang ketika ditemui meminta penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau yang masih belum mendaftar mendapatkan vaksin segera berbuat demikian untuk pastikan semua masyarakat menerima vaksin COVID-19. 

“Saya minta kepada mereka yang belum menerima vaksin yang telah berdaftar atau belum untuk hadir dan datang ke PPV ini bagi memastikan semua penduduk di DUN Batu Danau menerima kemudahan vaksin tersebut,” katanya. 

Ujarnya lagi, jika terdapat penduduk kampung yang mengalami kesukaran untuk datang ke PPV yang ditetapkan, mereka hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Residen atau Pejabat Daerah agar nama tersebut dapat dikemukakan kepada  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar pasukan bergerak ke rumah panjang bagi proses pemberian vaksin. 

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu ak Gumbang, Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latif, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS